KOTA SAMARAHAN - Kanak-kanak di kawasan luar bandar Sarawak dikenal pasti antara golongan paling berisiko tercicir daripada manfaat Endowment Fund Sarawak (EFS), walaupun setiap kelahiran layak menerima peruntukan RM1,000.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata inisiatif ini diwujudkan untuk membantu keluarga berpendapatan rendah membuat persediaan awal bagi pendidikan anak-anak, khususnya di kawasan pedalaman.
Katanya, bermula 2026, pengurusan dana akan dilaksanakan melalui Affin Bank dengan pendekatan simpanan dan pelaburan berasaskan emas bagi memastikan nilai dana berkembang dan memberi pulangan lebih bermakna.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Perasmian Pembukaan Chegu Aiman Gold & Gadget Cawangan Kota Samarahan pada Sabtu.
Namun menurut Dato Sri Fatimah, tahap penyertaan ibu bapa masih rendah, dengan isu kurang kesedaran dan kekangan maklumat di kawasan luar bandar dikenal pasti sebagai faktor utama.
Tambahnya, kerajaan negeri kini mempergiat kerjasama dengan hospital dan klinik kesihatan bagi membolehkan pendaftaran dilakukan sebaik kelahiran anak, sama ada secara manual atau digital.
Fatimah turut menegaskan bahawa dana ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan negeri, memastikan anak luar bandar tidak ketinggalan dalam akses pendidikan tinggi.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back