PUTRAJAYA - Kerajaan akan melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, sebuah pelan strategik yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada sekolah hingga pendidikan tinggi, pada 20 Januari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
RPN diterajui bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM), dengan tujuan memperkukuh sistem pendidikan yang bermutu, terangkum dan berdaya saing di peringkat global.
Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, dokumen hala tuju pendidikan tinggi untuk tempoh 10 tahun, dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar melibatkan lebih 8,000 pihak berkepentingan termasuk pakar akademik, institusi pendidikan, industri dan masyarakat.
RPTM bersifat dinamik dan fleksibel, menekankan pembangunan bakat pembina negara berpandukan nilai kemanusiaan sejagat, integrasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI), serta keterangkuman akses kepada pendidikan tinggi.
Sementara itu, Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang diterajui KPM, akan menjadi rujukan pembangunan pendidikan sekolah, selaras dengan Visi KPM: Pendidikan Bermutu, Insan Terdidik, Negara Sejahtera, melalui tujuh teras strategik dan 49 prakarsa berimpak tinggi.
Pelaksanaan RPTM dan RPM secara bersepadu di bawah RPN 2026-2035 mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara bagi memastikan kesinambungan pembangunan modal insan dari sekolah hingga pendidikan tinggi.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back