KOTA SAMARAHAN - Kerajaan Sarawak sedang merangka pembangunan masa depan menyeluruh dengan menumpukan kepada pembangunan kawasan selatan khususnya Samarahan sebagai bandar moden berkonsep rendah karbon sejajar dengan keperluan kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih tepat dan berhala tuju apabila trend pembangunan dikenal pasti serta disokong oleh data statistik dan analisis ekonomi.
Berucap pada Majlis Pecah Tanah Boulevard Samarahan, hari ini, beliau berkata perancangan menyeluruh itu akan memberi manfaat kepada Samarahan, Kuching dan Serian.
Beliau berkata di kawasan Samarahan, seluas 1,000 ekar telah dikenal pasti untuk dijadikan kawasan hijau yang akan ditanam dengan pokok-pokok jati Sarawak seperti pokok belian.
Menurutnya, kawasan berkenaan tidak boleh digunakan untuk sebarang pembangunan komersial atau perumahan, selain sebarang cadangan pembangunan perlu dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back