SEPANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan pelakon Nadia Kesuma, yang dilaporkan gagal dikesan ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi, pada Khamis lalu.
Laporan polis berhubung kehilangan Nadia Kesuma, atau nama sebenarnya Nadia Kasumawati Abdul Karim, dibuat oleh ahli keluarganya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah KLIA, ACP M. Ravi, ketika dihubungi mengesahkan penerimaan laporan tersebut dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.
Media sebelum ini melaporkan pelakon filem Syaitan Munafik itu dilaporkan tidak dapat dikesan selepas penerbangannya dari Kuala Lumpur ke London, ketika transit sementara di Jeddah.
Kehilangan berkenaan turut disahkan oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah, memaklumkan beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk menjejaki pelakon terbabit.
Usaha mengesan keberadaan Nadia Kesuma kini melibatkan kerjasama pihak berkuasa serta agensi berkaitan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back