SRI AMAN – Sepasang suami isteri ditemui meninggal dunia dengan kesan kecederaan serius di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun, pagi tadi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah dalam kenayataan hari ini berkata, polis menerima makluman daripada orang awam mengenai penemuan dua individu tidak sedarkan diri di lokasi berkenaan, jam 6.55 pagi.
Pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bersama pegawai perubatan Hospital Sri Aman yang dikejarkan ke tempat kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa, seorang lelaki berusia 45 tahun dan isterinya berumur 44 tahun, telah meninggal dunia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Bunuh).
Motif serta punca kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengumpul bukti serta keterangan saksi sedang giat dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, ASP Kalang di talian 019-331 7785 atau mana-mana balai polis berhampiran.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back