Kuching - Pemimpin yang bakal menggantikan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai Premier Sarawak perlu memiliki keperibadian kukuh, integriti tinggi serta keikhlasan dalam berkhidmat kepada rakyat.
Abang Johari menegaskan pemilihan pemimpin tertinggi negeri bukan ditentukan oleh individu atau parti politik semata-mata, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada suara dan penilaian rakyat.
Beliau berkata jawatan Premier merupakan satu amanah yang amat berat kerana setiap keputusan yang dibuat hari ini akan dipertanggungjawabkan pada masa hadapan.
Abang Johari berkata demikian ketika menjawab soalan penonton mengenai pengganti beliau pada program Townhall Premier: Sembilan Tahun Bersama YAB Premier Sarawak, Selasa malam, 13 Januari.
Berbekalkan lebih empat dekad pengalaman dalam politik, beliau menekankan integriti sebagai elemen terpenting dalam kepimpinan, kerana sebarang penyalahgunaan kuasa boleh memberi kesan besar kepada masa depan negeri.
Menurutnya, Sarawak memerlukan pemimpin yang memahami realiti masyarakat berbilang kaum dan agama, serta mampu mengekalkan keharmonian dan keamanan negeri seiring pembangunan.
Beliau turut menegaskan pemimpin muda perlu dilatih dan dipersiapkan sepenuhnya, bukan sekadar mengejar jawatan, bagi memastikan kesinambungan kepimpinan Sarawak pada masa hadapan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back