Kuching - Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas dadah jenis methamphetamine bernilai RM685 dalam satu serbuan di Jalan Song, Kuching, pada 10 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 1.15 tengah hari oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching di sebuah rumah di kawasan berkenaan.
Beliau dalam satu kenyataan berkata hasil pemeriksaan menemui 12 paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 6.23 gram, dengan nilai pasaran dianggarkan RM685.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek berusia 31 dan 44 tahun itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala semakan rekod mendapati seorang mempunyai satu rekod jenayah lampau dan seorang lagi 17 rekod.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari hingga 15 Januari bagi membantu siasatan.
ACP Alexson menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti berkaitan dadah dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN bagi membanteras dadah yang disifatkan sebagai musuh nombor satu negara.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back