Kuala Lumpur - Jumlah mangsa banjir di Sarawak dan Sabah mencatat penurunan setakat jam 4 petang ini, dengan 3,168 orang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 4,257 pada sebelah pagi.
Di Sarawak, hanya 29 PPS masih aktif, menempatkan 2,802 mangsa daripada 864 keluarga, berbanding 41 PPS pagi tadi.
Beberapa PPS di Samarahan, Gedong, Siburan dan Balai Ringin telah ditutup selepas banjir semakin terkawal.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan peningkatan jumlah mangsa di SK Krusen, Serian, serta Dewan Suarah dan SMK Sebauh, Bintulu.
Di Sabah, jumlah mangsa turun sedikit kepada 366 orang daripada 138 keluarga, kebanyakannya di daerah Beaufort. Pusat Pemindahan Kekal Dewan Slagon menempatkan 328 mangsa, manakala selebihnya di Dewan Sri Dayang Shahbandar, Padas Damit.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai untuk terus berwaspada dan mematuhi arahan JPBN bagi keselamatan diri.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back