Putrajaya - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mencatat prestasi memberangsangkan apabila merekodkan kutipan hasil sebanyak RM76.18 bilion sepanjang 2025, melepasi sasaran awal sebanyak RM8.93 bilion.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata jumlah itu turut menunjukkan peningkatan 16.18 peratus berbanding kutipan RM65.57 bilion pada 2024, sekali gus mencerminkan trend peningkatan konsisten sejak 2022.
Menurutnya, pencapaian berkenaan merupakan kejayaan dua tahun berturut-turut apabila kutipan hasil meningkat lebih RM10 bilion bagi 2024 dan 2025, hasil keberkesanan strategi pematuhan cukai, penguatkuasaan serta pemudah cara perdagangan yang dilaksanakan secara menyeluruh.
“Prestasi ini membuktikan pendekatan strategik JKDM berimpak tinggi dalam menyokong agenda reformasi fiskal negara dan memastikan kelestarian kewangan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas sasaran kutipan hasil tahun ini, beliau berkata perkara itu masih dibincangkan bersama Kementerian Kewangan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back