Putrajaya - Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) akan diagihkan lebih awal mulai tahun depan bagi membolehkan ibu bapa membuat persiapan sekolah dengan lebih terancang.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata keputusan itu dibuat selepas kementerian menerima rungutan ibu bapa berhubung penyaluran BAP tahun ini yang hanya bermula pada minggu pertama sesi persekolahan.
“Tahun ini sesi persekolahan bermula Januari, jadi memang ada rungutan. Mulai tahun hadapan, kita akan perbaiki dengan menyalurkan BAP lebih awal supaya persiapan anak-anak dapat dibuat lebih awal,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga KPM di sini, hari ini.
Bagi tahun ini, seramai 5.2 juta murid layak menerima BAP dan ibu bapa diminta hadir ke sekolah untuk mengambil bantuan berkenaan bermula 11 Jan ini.
Penyaluran dibuat secara serahan tunai melalui program pertemuan antara guru dan ibu bapa.
Fadhlina turut menggesa ibu bapa menggunakan bantuan tersebut khusus untuk keperluan persekolahan anak-anak serta memanfaatkan kehadiran ke sekolah untuk berinteraksi dengan guru.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Jemaah Menteri akan membincangkan kemungkinan kenaikan tambang bas sekolah susulan peningkatan kos operasi pengusaha, termasuk insurans, gaji pemandu dan alat ganti kenderaan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back