Kuching - Sebanyak sembilan Pusat Pemindahan Sementara atau PPS kini aktif di Sarawak susulan hujan berterusan sejak awal pagi tadi, termasuk lapan PPS baharu dibuka di Kuching, Samarahan dan Serian.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata operasi pemindahan mangsa dijalankan lancar dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, UKPS dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Antara PPS yang dibuka ialah Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mongag di Krokong menempatkan 94 mangsa, PPS SK Endap di Samarahan dengan sembilan mangsa, serta beberapa PPS di Serian menempatkan antara 15 hingga 95 mangsa.
Datuk Amar Uggah berkata demikian selepas mesyuarat Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia hari ini (9 Januari).
Tegasnya, pemantauan keselamatan rumah dan harta benda ditinggalkan semasa pemindahan turut dijalankan, manakala Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak bertanggungjawab saringan kesihatan dan penyemburan bagi mencegah penularan penyakit di PPS.
Orang ramai di kawasan berisiko dinasihatkan sentiasa berwaspada dengan keadaan cuaca dan mengikuti arahan pihak berkuasa.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back