Putrajaya - Seorang bekas Panglima Tentera Darat (PTD) direman tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman enam dan tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM), menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas ketiga-tiga individu dibawa ke Kompleks Mahkamah Majistret di sini pada jam 10 pagi, susulan penahanan mereka di ibu pejabat SPRM semalam.
Ketiga-tiga individu hadir dengan memakai baju lokap SPRM berwarna oren dan bergari.
Peguam bekas PTD, Nizamuddin Hamid, berkata anak guamnya masih dalam proses pemulihan dan memohon agar beliau diberikan akses kepada peguam sepanjang siasatan dijalankan.
Penahanan tersebut susulan tindakan SPRM yang pada 23 Disember lepas menumpukan siasatan terhadap projek perolehan TDM melalui tender terbuka dan perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Sebelum ini, SPRM turut menahan 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan TDM.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back