Kuching – Projek jalan Bako–Buntal menunjukkan kemajuan yang signifikan dan dilihat optimis mampu disiapkan lebih awal demi manfaat penduduk sekitarnya.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, projek bernilai RM123 juta itu kini mencatat kemajuan sebanyak 26 peratus, empat bulan mendahului jadual.
Menurut beliau, projek tersebut merangkumi pembinaan jalan yang direka mengikut standard JKR R3 serta sebuah jambatan bagi menghubungkan kedua-dua kawasan.
Setakat ini, kemajuan kerja projek itu menunjukkan prestasi yang memberangsangkan tanpa sebarang masalah dari segi kontraktor dan bekalan bahan binaan.
Namun begitu, projek berkenaan berdepan isu land blockages sepanjang kira-kira 600 meter di kawasan Buntal.
Bagaimanapun, pihak Jabatan Tanah dan Survei bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menyelesaikan isu tuntutan tersebut dan setelah ia dapat diatasi sepenuhnya, kerja-kerja pembinaan dijangka dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
Katanya, projek itu dijangka siap sekitar hujung tahun 2027 atau awal tahun 2028, namun beliau optimis ia dapat disiapkan lebih awal daripada jangkaan.
Dengan siapnya projek itu kelak, laluan berkenaan akan bersambung dengan satu lagi jalan berkembar dari Bulatan Yayasan Sarawak ke Santubong.
Ia sekali gus memendekkan masa perjalanan yang dianggarkan hanya sekitar lapan minit untuk sampai ke Bako.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatan ke tapak projek berkenaan di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back