Kuala Lumpur - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengarahkan pelaksanaan segera mekanisme jaminan bank sebagai syarat mandatori bagi semua agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah, bagi memastikan wang jemaah sentiasa dilindungi dan pampasan dapat disalurkan tanpa kelewatan sekiranya berlaku penipuan, kecuaian atau kegagalan agensi.
Beliau dalam satu kenyataan malam tadi menegaskan langkah ini bukan beban kepada pengusaha yang jujur, tetapi bertujuan membina ekosistem pelancongan yang selamat, boleh dipercayai dan mengembalikan keyakinan rakyat, susulan insiden 36 jemaah umrah terkandas di Madinah baru-baru ini yang kini selamat tiba di KLIA.
MOTAC telah menjalankan penggeledahan, merakam percakapan pihak syarikat dan jemaah yang terlibat, serta membuka kertas siasatan, manakala kertas syor pembatalan lesen agensi terbabit sedang dimuktamadkan untuk pertimbangan pengurusan tertinggi kementerian.
Tiong turut memaklumkan bahawa sejak 2023 hingga Oktober tahun lepas, MOTAC telah melaksanakan 64 operasi penguatkuasaan, menggantung empat lesen dan membatalkan dua lesen agensi pelancongan yang melanggar undang-undang, namun insiden berulang menunjukkan pendekatan sedia ada perlu diperkukuh.
Orang ramai dinasihatkan menyemak status lesen agensi pelancongan sebelum membuat sebarang bayaran dan melaporkan penyelewengan agar tindakan pantas dapat diambil.
Langkah jaminan bank ini dilaksanakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan akan menjadi syarat utama pelesenan bagi pengendali pakej umrah.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back