Kuala Lumpur - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang masih berpotensi berlaku dari semasa ke semasa, termasuk di kawasan yang lazimnya tidak terjejas Monsun Timur Laut, sekiranya keadaan atmosfera menggalakkan pembentukan cuaca ekstrem.
Timbalan Ketua Pengarah MetMalaysia Ambun Dindang berkata, selain pantai timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak, kawasan pantai barat juga berisiko dilanda cuaca ekstrem bergantung kepada arah, kelajuan serta penumpuan angin di sesuatu kawasan.
Beliau berkata antara kebimbangan utama sepanjang Monsun Timur Laut ialah kehadiran luruan monsun yang boleh menyebabkan hujan berterusan antara satu hingga tiga hari, sekali gus meningkatkan risiko bencana.
Sebagai langkah kesiapsiagaan, MetMalaysia mengeluarkan amaran cuaca mengikut tiga tahap keseriusan iaitu Waspada, Buruk dan Bahaya, dan menjalankan pemantauan cuaca 24 jam.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini daripada sumber rasmi MetMalaysia serta mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back