Putrajaya - Seorang bekas Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama dua isterinya antara lima individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat.
Bekas panglima berkenaan dan dua isterinya ditahan kira-kira 7 malam selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini.
Turut ditahan ialah sepasang suami isteri lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes sama, selepas mereka ditahan kelmarin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan kesemua individu berkenaan bagi membantu siasatan kes rasuah tender perolehan TDM.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Panglima Tentera Darat telah diarahkan bercuti sehingga siasatan pihak berkuasa berhubung dakwaan terhadap beliau selesai dijalankan.
Susulan itu, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman telah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31, berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Pada 23 Disember, pegawai SPRM dilaporkan hadir ke Kementerian Pertahanan dengan siasatan memfokuskan kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back