Putrajaya - Pelawak terkenal, Shahmira Muhamad atau Shuib Sepahtu, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini selepas mengaku bersalah mempromosikan rokok elektronik atau vape menerusi satu episod Dol’s Podcast dua tahun lalu.
Majistret Ezrene Zakariah turut memerintahkan Shuib, 42 tahun, dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, namun beliau telah menjelaskan bayaran tersebut.
Mengikut pertuduhan, Shuib didapati mempromosikan produk vape melalui kandungan video di YouTube, sekali gus melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Pihak pendakwaan menegaskan tindakan itu memberi kesan buruk kepada kesihatan awam, terutama kerana promosi melibatkan individu berpengaruh yang mudah mempengaruhi kanak-kanak dan remaja.
Peguam Shuib pula memaklumkan anak guamnya telah memadamkan kandungan tersebut dan mengambil langkah bertanggungjawab mematuhi undang-undang.
Kes itu menjadi peringatan bahawa sebarang bentuk promosi produk merokok, termasuk vape, adalah satu kesalahan serius di sisi undang-undang.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back