KUCHING - Majlis perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata penganjuran di lokasi berkenaan merupakan kelainan berbanding edisi terdahulu memandangkan Negeri Selangor masih belum mempunyai Stadium Negeri susulan Stadium Shah Alam kini dalam proses pembinaan semula.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah di Kuching hari ini.
Mengulas persiapan Selangor sebagai tuan rumah SUKMA Ke-22, beliau berkata lebih 80 peratus kemudahan dan fasiliti sukan telah siap dinaik taraf, manakala baki kira-kira 20 peratus lagi dijangka siap sepenuhnya menjelang April ini.
Katanya, antara fasiliti utama yang sedang melalui proses naik taraf berskala besar ialah Pusat Akuatik di Shah Alam serta Lapang Sasar Menembak di Subang.
Dalam perkembangan lain, Mohd Najwan berkata Sistem Pengurusan Permainan (GMS) bagi pendaftaran kontingen negeri telah dibuka bermula 2 Januari lepas hingga 13 Februari ini bagi membolehkan semua negeri mengemukakan penyertaan masing-masing.
Beliau berkata Selangor juga akan menggerakkan program latihan sukarelawan SUKMA bagi memastikan kelancaran penganjuran temasya sukan dwitahunan itu.
Menurut Mohd Najwan, SUKMA Selangor akan mengekalkan 37 jenis sukan seperti yang dipertandingkan pada SUKMA Sarawak, melibatkan keseluruhan 474 acara dan 474 pingat yang ditawarkan.
Bagaimanapun, beliau berkata senarai sukan bagi Para SUKMA masih belum dimuktamadkan kerana masih dalam perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata penganjuran SUKMA Selangor akan melibatkan sembilan daerah di negeri berkenaan dengan tumpuan utama di daerah Petaling dan Klang, manakala beberapa acara tertentu akan dilaksanakan di daerah lain.
Terdahulu, majlis penyerahan obor SUKMA Ke-22 turut berlangsung sempena kunjungan hormat tersebut sebagai simbolik kesinambungan penganjuran SUKMA daripada Sarawak kepada Selangor.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back