Kuching - Kerajaan Sarawak memperkukuh kesiapsiagaan semua agensi dan jawatankuasa pengurusan bencana menjelang kemungkinan banjir lebih buruk dalam satu hingga dua bulan akan datang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata pengalaman banjir baru-baru ini memberi pengajaran penting terutamanya dalam pengurusan Pusat Pemindahan Sementara atau PPS, yang dikatakan berjalan dengan memuaskan di Kuching.
Jelasnya, langkah penambahbaikan termasuk penyediaan tugasan pemindahan mangsa yang lebih tersusun, bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi, pemeriksaan kesihatan, serta kerja pencegahan denggi.
“Semua peralatan dan kemudahan PPS dipastikan lengkap dan berada dalam keadaan baik bagi keselesaan mangsa,” katanya kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia pada Selasa.
Beliau menasihati penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa bersedia dan mematuhi arahan pemindahan, sambil PDRM memantau penempatan yang ditinggalkan bagi menjamin keselamatan harta benda.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back