Rom - Satu rompakan berani berlaku di lebuh raya Itali apabila sekumpulan penyerang tidak dikenali melarikan kira-kira €400,000 wang tunai dalam serangan ke atas sebuah kenderaan perisai pada awal pagi Isnin, 5 Januari.
Pihak berkuasa memaklumkan suspek menyekat aliran trafik menggunakan beberapa kenderaan sebelum melancarkan serangan pantas, termasuk menggunakan bom asap, menabur paku untuk memecahkan tayar kenderaan lain serta melepaskan tembakan ke arah van berkenaan.
Penyerang kemudian menggunakan bahan letupan untuk membuka van dan peti simpanan sebelum melarikan diri bersama wang tunai itu. Kejadian berlaku di lebuh raya berhampiran Ortona, wilayah Abruzzo, tengah Itali.
Tiada kecederaan serius dilaporkan, namun dua individu menerima rawatan akibat terhidu asap. Lebuh raya berkenaan ditutup sementara, menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Polis kini melancarkan operasi memburu besar-besaran, dengan suspek dipercayai melarikan diri menggunakan kenderaan berkuasa tinggi.
Sumber: BERNAMA-dpa
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back