GEDONG - Tiga projek pembinaan jalan baharu di kawasan Gedong dengan kos keseluruhan dianggarkan RM2.8 bilion akan dipantau secara berterusan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek berkenaan melibatkan Lebuhraya Serian–Gedong–Samarahan, projek cadangan menaik taraf Jalan Gedong–Simunjan serta pembinaan Jalan Gedong–Semalatong.
Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke jambatan kedua di tapak projek Lebuhraya Serian–Gedong–Samarahan, hari ini, beliau berkata pihaknya telah menerima laporan menyeluruh mengenai status semasa pelaksanaan projek.
Jelasnya, terdapat beberapa cabaran, khususnya berkaitan isu tanah, dan berharap perkara ini dapat diselesaikan segera supaya kerja pembinaan dapat diteruskan tanpa halangan.
Projek jalan Serian–Gedong–Samarahan sepanjang 45.65 kilometer serta projek Jalan Gedong–Simunjan sepanjang 20.6 kilometer dijangka siap pada tahun 2028, manakala projek Jalan Gedong–Semalatong sepanjang 57.45 kilometer disasarkan siap pada 2027.
Back