BAU – Lapan lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam operasi bersepadu di beberapa kampung sekitar daerah Bau, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman dalam kenyataan hari ini berkata operasi bersepadu itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau bersama anggota IPD Bau dari kira-kira jam 5.30 hingga 9.00 pagi.
Katanya, pemeriksaan melibatkan kawasan Kampung Peninjau Baru, Kampung Peninjau Lama, Kampung Kopit dan Kampung Plaman Sega.
Hasil operasi tersebut, polis telah menahan lapan lelaki tempatan berumur antara 20 hingga 34 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Dedahnya, tiga daripada suspek ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas polis menemui satu paket plastik putih lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan lanjut.
Back