SIMUNJAN – Seorang lelaki warganegara Indonesia yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam parit besar di Ladang Tradewinds, Kampung Sagu, Sebuyau, telah dijumpai hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Rendi berusia 19 tahun ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11.45 pagi, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
Mayat mangsa dijumpai tersangkut di pelepah kelapa sawit di kawasan ladang berkenaan.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Pada Khamis lalu kira-kira jam 4.00 pagi, mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ketika melalui sebuah parit besar.
Rakan mangsa cuba menyelamatkannya dengan menarik tangan mangsa, namun usaha tersebut gagal berikutan arus air yang terlalu deras.
Susulan penemuan mangsa, SAR ditamatkan jam 1 tengah hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back