BETONG - Projek pembinaan Lapangan Terbang Baharu Bebuling (STOLport) di Betong bernilai RM248 juta dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2026.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata lapangan terbang tersebut akan berperanan sebagai pengangkutan penumpang dan kargo bagi membawa hasil luar bandar ke pasaran luar Spaoh, sekali gus mengukuhkan rantaian ekonomi kawasan tersebut.
Ujarnya, projek tersebut merangkumi pembinaan bangunan terminal utama, turapan lapangan terbang dan kerja-kerja awam.
Apabila siap, jelasnya, ia dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat melalui penubuhan Pusat Pengumpulan, Pembungkusan dan Pemprosesan (CPPC), Agropark serta pembangunan produk ekopelancongan di Bahagian Betong.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Selasa selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kemajuan projek Lapangan Terbang Baharu Bebuling termasuk beberapa projek infrastruktur utama di Bahagian Betong.
Dalam lawatan kerja yang sama, Datuk Amar Uggah turut meninjau kemajuan beberapa projek infrastruktur lain seperti pembinaan jambatan dan lebuh raya utama di Bahagian Betong.
Back