KUCHING - Sarawak hari ini kehilangan satu daripada permata berharganya berikutan pemergian ahli ekonomi dan akademik, Prof Datuk Dr Madeline Berma.
Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Madeline yang juga ahli Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) telah menyumbang kepakaran beliau bagi memastikan masa hadapan ekonomi Sarawak yang mampan.
Bagi pihak SEAC, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Madeline Berma atas pemergian beliau hari ini.
Madeline meninggal dunia pada usia 67 tahun di kediamannya di Bandar Baru Bangi pada 11.30 pagi tadi.
Anak saudara mendiang, Basil Cliffton Calvert berkata jasad Madeline akan dibawa pulang ke Kampung Siol Kandis, Kuching untuk urusan pengebumian.
Sumber:BERNAMA
Back