Kuching – Dakwaan tular yang mengaitkan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dengan isu pengagihan, penyewaan atau penyalahgunaan rumah di bawah Program Rumah Sri Pertiwi adalah tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan.
HDC dalam kenyataannya semalam memaklumkan, setakat ini, projek Program Rumah Sri Pertiwi yang melibatkan HDC melalui kerjasama usaha sama masih berada pada peringkat pembinaan.
Sehubungan itu, sebarang dakwaan berkaitan pengagihan atau penyewaan rumah berkenaan adalah tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan.
Orang awam dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat rasmi dengan menghubungi HDC atau melayari laman sesawang rasminya.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan bahawa pengagihan rumah tersebut tidak adil, khususnya kepada pembeli rumah pertama di negeri ini, apabila terdapat individu yang didakwa membeli kediaman berkenaan untuk tujuan penyewaan.
HDC memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius penyebaran maklumat tidak sahih itu dan menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran dakwaan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Program Rumah Sri Pertiwi merupakan inisiatif perumahan mampu milik kerajaan negeri Sarawak yang disasarkan kepada golongan berpendapatan antara RM4,000 hingga RM10,000 sebulan.
Di samping itu, pelaksanaan program tersebut adalah terbuka untuk dibangunkan oleh pihak kerajaan atau sektor swasta, tertakluk kepada dasar serta kelulusan kerajaan negeri Sarawak.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back