Jakarta – Tiga wilayah di Sumatera, Indonesia yang terjejas akibat banjir serta tanah runtuh pada November lalu kini memasuki fasa pemulihan dan pembinaan semula.
Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Pratikno berkata setakat Isnin, wilayah di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat menunjukkan perkembangan positif dalam usaha pemulihan pasca bencana.
Menurut beliau, semua hospital awam wilayah (RSUD) di ketiga-tiga wilayah itu telah menyambung semula operasi, meskipun sebahagiannya masih berfungsi pada kapasiti terhad.
Beliau berkata, bencana berkenaan telah menjejaskan sebanyak 867 pusat kesihatan masyarakat, dengan lapan daripadanya masih dalam proses pemulihan.
Bagi memastikan akses berterusan kepada perkhidmatan kesihatan sepanjang tempoh peralihan, kerajaan terus menggerakkan petugas kesihatan ke kawasan terpencil.
Usaha itu turut melibatkan doktor pakar, pegawai perubatan dan doktor pelatih sebagai sukarelawan.
Pasukan kesihatan berkenaan menyediakan perkhidmatan kesihatan asas, pembedahan kecil serta rawatan trauma kepada penduduk terjejas.
Di Aceh, tujuh daerah dan bandar telah memasuki fasa pemulihan dan pembinaan semula, manakala 11 lagi masih melanjutkan tempoh tindak balas kecemasan.
Di Sumatera Utara pula, lapan wilayah beralih ke peringkat pascakecemasan, manakala lapan lagi masih berada dalam status kecemasan.
Sementara itu, di Sumatera Barat, 10 wilayah telah memasuki proses pemulihan dan pembinaan semula, dengan tiga lagi masih dalam tempoh tindak balas kecemasan.
Sumber: BERNAMA
Foto: CNN Indonesia
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back