Kuala Lumpur – U Mobile Sdn Bhd menyekat lebih 265 juta panggilan penipuan serta cubaan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu di seluruh negara setakat Disember 2025.
Ia susulan pelaksanaan perlindungan penipuan di peringkat rangkaian secara menyeluruh, merangkumi rangkaian 4G dan 5G syarikat itu.
Dalam kenyataan bersama, U Mobile dan Cellusys memaklumkan bahawa inisiatif tersebut dikuasakan oleh teknologi tembok api (firewall) canggih yang dibangunkan oleh Cellusys.
Teknologi itu membolehkan syarikat telekomunikasi berkenaan menyekat cubaan penipuan melalui proses saringan ke atas semua panggilan masuk dan SMS di peringkat rangkaian.
Langkah berkenaan secara tidak langsung menghalang komunikasi mencurigakan daripada sampai ke peranti pelanggan.
Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata, pelaksanaan penyelesaian perlindungan penipuan canggih itu mencerminkan komitmen syarikat dalam melindungi pelanggan daripada aktiviti penipuan.
Menurutnya, U Mobile akan terus mempertingkatkan rangkaiannya menerusi penggunaan teknologi bagi memberikan perlindungan yang lebih baik, meliputi perkhidmatan suara, pemesejan dan data.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back