Yangon – Proses pengundian fasa pertama Pilihan Raya Umum berbilang parti Myanmar 2025, berakhir pada petang Ahad.
Pengundian bermula seawal 6 pagi waktu tempatan.
Di perbandaran Kyauktada, Yangon, seorang pegawai pilihan raya di sebuah pusat mengundi mengumumkan penutupan pusat berkenaan pada jam 4 petang.
Susulan penutupan itu, petugas pilihan raya di pusat mengundi terbabit, dengan kehadiran wakil media tempatan dan antarabangsa, calon serta pemerhati, memulakan proses pengiraan undi.
Proses tersebut merangkumi undi awal bagi kerusi Dewan Rakyat (Pyithu Hluttaw), Dewan Negara (Amyotha Hluttaw) serta Dewan Undangan Negeri dan Wilayah.
Menurut Pasukan Maklumat Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara Myanmar, seramai 139 anggota pasukan pemerhati pilihan raya antarabangsa serta wakil komuniti diplomatik hadir untuk memerhati dan memantau proses pengundian.
Pilihan Raya Umum Myanmar 2025 dijadualkan berlangsung dalam tiga fasa, dengan fasa kedua dan ketiga masing-masing pada 11 dan 25 Januari 2026.
Pilihan raya itu melibatkan 692 kawasan pilihan raya di seluruh negara, dengan kira-kira 5,000 calon daripada 57 parti politik bertanding bagi merebut kerusi di ketiga-tiga badan perundangan berkenaan.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan, sebanyak 21,517 pusat mengundi disediakan di seluruh negara.
Keputusan akhir pilihan raya dijangka diumumkan selepas kesemua fasa pengundian selesai.
Sumber: BERNAMA
Foto: DVB English News
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back