Kuching – Hampir 60 peratus daripada 209 unit rumah fasa pertama projek penempatan di Sungai Bedaun, sudah diduduki.
Perkara itu disampaikan oleh Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), Saiful Bahari Amra Ramly, semasa ditemui media di Kuching, semalam.
Menurut beliau, baki rumah bagi penempatan itu dijangka akan didiami oleh ketua keluarga tambahan daripada projek Darul Hana pada awal tahun hadapan.
Sementara itu, beliau mendedahkan bahawa fasa kedua projek tersebut pula akan melibatkan sebanyak 208 unit rumah, dan dijangka akan bermula pada tahun 2026.
Dalam pada itu, tambah beliau, bagi Skim Pembesaran Kampung (SPK) antaranya di Gedong, Sebuyau dan Lawas, kesemuanya masih dalam proses pelaksanaan.
Pihaknya menjangkakan pada tahun depan, beberapa projek tersebut akan siap dibina.
Jelasnya, ia merupakan peranan LCDA untuk membantu kerajaan Sarawak menyediakan rumah mampu milik dengan sokongan kerajaan, dengan keutamaan diberikan kepada keluarga yang masih belum memiliki rumah.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back