Kuching – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak membuka satu kertas siasatan, susulan kes tular melibatkan petrol RON95 yang disyaki bercampur diesel atau air di Stesen Petronas Samarahan Expressway, Kota Samarahan, baru-baru ini.
Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.
Menurut beliau, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan yang tular di media sosial berhubung insiden berkenaan, yang didakwa menjejaskan beberapa pengguna.
Katanya, tindakan pantas telah diambil oleh KPDN Sarawak terhadap stesen minyak yang disyaki melanggar peraturan ditetapkan, selaras dengan usaha melindungi hak pengguna.
Terdahulu, pada 24 Disember lalu kira-kira jam 2.30 petang, empat pegawai penguat kuasa KPDN Sarawak telah menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak terbabit.
Susulan pemeriksaan itu, satu Kertas Siasatan (Enquiry Paper, EP) telah dibuka di bawah seksyen yang sama, serta Seksyen 6(1)(d) akta berkenaan, berkaitan perihal kandungan barangan yang didakwa tidak menepati pernyataan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back