Kuching – Restoran tertinggi di Sarawak, Tabby Gastronomy, menawarkan pengalaman gastronomi yang unik dengan mengetengahkan kepelbagaian menu yang sentiasa berubah.
Ia sekali gus memberi pengalaman baharu kepada pelanggan setiap kali menghadiri acara di premis itu.
Menerusi perkongsian bersama media malam semalam, pihak pengurusan memaklumkan bahawa restoran yang terletak di tingkat 23 Hotel Sheraton Kuching itu, mengamalkan strategi menukar menu setiap tiga bulan.
Ia dilihat menjadi tarikan utama yang membezakannya daripada restoran lain.
Menurutnya, sejak mula beroperasi pada 2024, pendekatan tersebut diperkenalkan bagi memastikan pelanggan tidak dihidangkan menu yang sama secara berulang.
Pendekatan tersebut memberi ruang kepada cef untuk menampilkan kreativiti masing-masing melalui hidangan yang dihasilkan.
Katanya, perubahan menu itu dirancang menerusi perbincangan bersama pasukan dapur sebelum dipersetujui, dengan pemilihan hidangan turut disesuaikan mengikut musim perayaan.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada kesesuaian acara serta permintaan pelanggan.
Selain itu, pendekatan interaktif turut diterapkan apabila cef sendiri akan mempersembahkan hidangan masing-masing, menjadikan setiap acara tampil dengan identiti menu yang berbeza.
Ia secara tidak langsung mewujudkan pengalaman yang lebih eksklusif dan peribadi.
Dalam tempoh lebih setahun beroperasi, Tabby Gastronomy menerima sambutan menggalakkan dengan kapasiti antara 80 hingga 100 orang bagi setiap acara.
Sehubungan itu, pengurusannya optimis pendekatan penukaran menu secara berkala akan terus menjadi kekuatan utama dalam menarik minat pelanggan serta mengekalkan kepercayaan mereka.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back