Kuala Lumpur - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung perolehan projek Tentera Darat, semalam.
Menurut sumber, SPRM turut mempergiat siasatan berhubung kes terbabit yang dimulakan pada 23 Disember lepas, dengan membuat semakan akaun disyaki terbabit rasuah perolehan.
Siasatan awal mendapati bermula 2023 sehingga 2025, perolehan Tentera Darat yang melebihi RM500,000 adalah sebanyak 158 projek, manakala bagi perolehan di bawah RM500,000 pula 4,521 projek.
Semakan awal terhadap kesemua projek tersebut mendapati terdapat beberapa buah syarikat kerap memperoleh projek dengan nilai yang tinggi dan perkara terbabit agak meragukan.
Menurut sumber, semakan terperinci masih belum dilakukan mengenai profiling syarikat-syarikat yang menerima kontrak tersebut.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional, berasaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back