Kuching - Lapan projek sekolah yang telah siap sepenuhnya bakal diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) menjelang awal Januari 2026, sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri memperkukuh kemudahan pendidikan di seluruh Sarawak.
Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, projek melibatkan pembinaan dan penambahbaikan infrastruktur bagi memastikan persekitaran pembelajaran lebih selamat, selesa dan kondusif.
Antara sekolah yang terlibat ialah SK Tabuan Jaya, SK Kampung Tanam, SMK Luar Bandar Miri, SK Ulu Pedanum, SK Nanga Serau, SK Kuala Annau, SK Sebemban dan SK Ulu Binatang.
JKR menegaskan penyiapan projek tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kesejahteraan murid dan warga pendidik, serta menyokong pembangunan pendidikan inklusif dan mampan di kawasan bandar dan luar bandar.
Pengurusan tender, pemantauan tapak, dan penyerahan projek diselia sepenuhnya oleh JKR Sarawak melalui skim dana pendahuluan negeri bernilai RM1 bilion bagi kerja baik pulih dan pembinaan baharu sekolah.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back