Kuching - Kerajaan Persekutuan terus menekankan komitmen merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak, terutamanya dalam aspek infrastruktur, pendidikan dan kemudahan asas, melalui Belanjawan 2025.
Sabah menerima peruntukan RM6.7 bilion, manakala Sarawak RM5.9 bilion untuk projek strategik bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo, dengan kos keseluruhan RM25.1 bilion, menunjukkan kemajuan positif; fasa pertama di Sarawak hampir siap manakala 17 pakej kerja fasa 1B di Sabah sudah diluluskan dengan nilai kontrak RM9.7 bilion.
Projek Sabah Sarawak Link-Road Fasa 2 juga telah bermula dan dijangka siap pada 2029 dengan kos RM7.6 bilion.
Selain itu, Belanjawan 2025 memperuntukkan RM500 juta untuk bekalan air bersih dan elektrik, manakala pendidikan menerima RM1 bilion bagi menaik taraf prasarana di 543 sekolah, termasuk pembinaan 44 sekolah baharu.
Kerajaan juga meluluskan projek pembesaran Lapangan Terbang Tawau dan Lapangan Terbang Miri dengan kos RM253 juta.
Ahli akademik Prof Datuk Dr Jayum Jawan yang juga seorang Felo Akademi Sains Malaysia menegaskan pembangunan mesti dilaksanakan secara adil dan seimbang, memastikan rakyat di kawasan luar bandar turut mendapat manfaat.
Katanya lagi, kerajaan MADANI menekankan kepentingan kasih dan perhatian kepada mereka yang masih ketinggalan dari aspek keperluan asas.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back