Kuala Lumpur – Filem animasi terbaharu Malaysia, ‘Papa Zola The Movie’, berjaya catat kutipan box office berjumlah RM25 juta, selepas 11 hari ditayangkan di pawagam.
Pencapaian itu sekali gus meletakkan filem terbitan MONSTA Studio dan Astro Shaw itu di kedudukan teratas carta 10 Terbaik Golden Screen Cinemas (GSC), mengatasi beberapa tayangan antarabangsa utama.
Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak berkata, musim cuti sekolah yang telah bermula mendorong ibu bapa untuk meluangkan masa bersama anak-anak.
Pihaknya menzahirkan rasa syukur kerana ‘Papa Zola The Movie’ dipilih sebagai tontonan mesra keluarga di pawagam.
Menurut beliau, fenomena “Demam Kebenaran” membuktikan bahawa filem tempatan yang mendapat sokongan penonton mampu menginspirasikan lebih ramai pihak untuk menghargai karya tempatan.
Filem tersebut kini masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei, manakala jadual tayangan antarabangsa dijangka bermula di Indonesia pada Januari 2026.
Tayangan itu kemudiannya akan diperluaskan ke India, Vietnam serta pasaran Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Turkiye pada April 2026.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back