Kuala Lumpur - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.5 pada skala Richter melanda rantau Papua New Guinea pada jam 6.31 petang tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia, MetMalaysia, dalam satu kenyataan memaklumkan pusat gempa itu dikesan pada kedudukan 5 perpuluhan 7 darjah selatan dan 145 perpuluhan 5 darjah timur, dengan kedalaman sekitar 10 kilometer.
Gempa berkenaan berlaku kira-kira 43 kilometer di utara bandar Goroka di Papua New Guinea.
Berikutan kekuatan gempa itu, gegaran dijangka dirasai di kawasan berdekatan, namun setakat ini belum ada laporan kerosakan atau kecederaan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan negara tersebut.
MetMalaysia menegaskan, gempa bumi ini tidak membawa sebarang ancaman tsunami kepada Malaysia dan orang ramai dinasihati agar tidak panik serta mengikuti perkembangan rasmi daripada sumber yang sahih.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan dan sebarang maklumat baharu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back