LUNDU – Seramai 145 penerima menerima sumbangan Krismas dan bantuan ‘Back To School’ di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, semalam.
Daripada jumlah itu, seramai 23 orang golongan asnaf dan 20 kanak-kanak menerima sumbangan Krismas, manakala 100 orang lagi menerima bantuan beg sekolah menerusi program ‘Back To School’ bagi membantu persediaan persekolahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata Kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada pelajar, termasuk bantuan pakaian sekolah, peralatan pembelajaran dan sokongan lain sehingga ke peringkat pengajian tinggi.
Berucap pada majlis penyerahan bantuan itu, beliau turut memaklumkan bahawa pelajar yang memenuhi kriteria boleh membuat permohonan bantuan melalui laman sesawang Yayasan Sarawak termasuk bagi bantuan seperti komputer riba dan kemudahan lain.
Jelasnya, Pejabat Pusat Khidmat DUN Tajong Datu sedia membantu sekiranya terdapat kekurangan atau masalah dalam permohonan.
Dalam pada itu, Azizul turut menasihatkan pihak rumah ibadat yang menerima geran melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) agar mengemukakan laporan setiap kali geran diterima.
Tegasnya, laporan tersebut penting kerana terdapat aduan bahawa sesetengah penerima tidak mengemukakan laporan, sekali gus menyukarkan permohonan seterusnya untuk diluluskan.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back