Kuching – Amalan meditasi berperanan penting sebagai pendekatan sokongan dalam membantu menangani tekanan mental dan emosi.
Senario itu terutama dalam kalangan kakitangan perubatan yang berdepan persekitaran kerja yang mencabar serta tuntutan perkhidmatan yang tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, hospital sering dilihat sebagai tempat rawatan pesakit, namun hakikatnya turut menjadi persekitaran kerja bertekanan tinggi kepada kakitangan perubatan termasuk doktor dan jururawat.
Menurut beliau, apabila golongan itu berada dalam keadaan tertekan, mereka cenderung untuk kehilangan fokus, sekali gus berisiko melakukan kesilapan.
Oleh sebab itu, pendekatan seperti meditasi amat penting sebagai mekanisme pengurusan tekanan.
Jelasnya, ia membantu mereka untuk berhenti berehat seketika, berfikir dan bermuhasabah sebelum kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada program Hari Meditasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-2 di Hospital Umum Sarawak, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back