Kuala Lumpur – Satu Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN akan diadakan pada 22 Disember (Isnin) di Kuala Lumpur, berhubung situasi terkini antara Kemboja dan Thailand.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia susulan persetujuan yang dicapai oleh Perdana Menteri Malaysia, Kemboja dan Thailand pada 11 Disember lalu.
Mesyuarat khas berkenaan akan dipengerusikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurut kenyataan itu, penganjurannya sebagai wadah kepada semua Menteri Luar Negeri ASEAN, untuk bertukar pandangan mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand.
Selain itu, mesyuarat berkenaan turut akan mempertimbangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh ASEAN, bagi menyokong usaha berterusan untuk meredakan ketegangan serta menghentikan permusuhan.
Usaha ini adalah demi memastikan keamanan dan kestabilan antara kedua-dua negara itu, serta di rantau ASEAN secara keseluruhan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back