Bangkok - Tirai temasya Sukan SEA 2025 rasmi melabuhkan tirai malam tadi, dengan upacara penutup penuh gemilang di Stadium Nasional Rajamangala, menyaksikan api hijau temasya dipadamkan selepas 11 hari dihiasi aksi penuh dramatik dan semangat kesukanan ASEAN.
Majlis dimulakan dengan persembahan bertenaga segmen ‘The Sound of Whistle’ oleh bintang T-POP, Daou dan Kratae, disusuli perarakan atlet dari 54 disiplin yang menerima sorakan gemuruh.
Kontinjen Malaysia diwakili 80 atlet dan pegawai, dengan pemain sepak takraw, Farhan Adam diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Thamanat Prompow, mengisytiharkan penutupan rasmi, sebelum penonton menyaksikan video sorotan detik terbaik temasya.
Upacara pemadaman api hijau turut melibatkan penonton yang meniup wisel sebagai simbolik penutup.
Semangat temasya diteruskan dengan penyerahan bendera SEAGF kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, menandakan Malaysia bakal menjadi tuan rumah edisi 2027.
Sebagai pemanas suasana, Malaysia mempertontonkan segmen ‘Rhythm of Harmony’ oleh Mimi Fly dan 60 penari yang mempamerkan kepelbagaian budaya negara.
Persembahan ‘We Are the Champions’ dan percikan bunga api menutup acara bergaya, sementara Thailand muncul juara keseluruhan, diikuti Malaysia di kedudukan keempat dengan 57 emas, 57 perak dan 117 gangsa.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back