KUCHING - Empat cef Sarawak mengharumkan nama negeri apabila berjaya meraih kemenangan dalam Pertandingan Khadhya Khurak SuperChef yang berlangsung di India baru-baru ini.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata kejayaan tersebut membuktikan bakat kulinari Sarawak mampu menyerlah dan berdiri setaraf dengan cef antarabangsa.
Menurut beliau, dalam pertandingan itu, Cef Robbie Richard Balcarek dari Little Fairy Café meraih ‘Gold Award’, diikuti Cef Lana Akam dari Fairy Tavern yang memenangi ‘Silver Award’, manakala Cef Annie Wee dari Annie Kolo Mee dianugerahkan ‘Bronze Award’.
Katanya, para cef menggunakan sepenuhnya bahan-bahan tempatan Borneo, sekali gus memperkenalkan keunikan cita rasa dan warisan Sarawak ke peringkat global.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini.
Datuk Wee berkata beliau berbangga apabila bahan-bahan tempatan Sarawak berjaya diketengahkan dan dihargai di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, ini bukan sekadar kemenangan untuk para cef, tetapi juga kemenangan untuk Sarawak.
Beliau turut menyifatkan pencapaian itu sebagai detik membanggakan buat Kuching sebagai Bandar Gastronomi UNESCO, sekali gus membuktikan status tersebut disokong oleh bakat dan kualiti sebenar dalam industri kulinari tempatan.
Dalam pada itu, Datuk Wee turut mengucapkan tahniah kepada Cef Julian Lai dari Little Hainan Restaurant yang dianugerahkan Anugerah King Chef serta dilantik sebagai juri pertandingan, satu pengiktirafan yang disifatkan sebagai pencapaian besar bagi Sarawak.
Kejayaan itu diharap dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda, khususnya dalam bidang kulinari, untuk terus berani bermimpi besar dan melangkah ke pentas antarabangsa.
Beliau menegaskan MBKS akan terus komited menyokong pembangunan bakat kulinari tempatan bagi memastikan lebih banyak kejayaan membanggakan dapat dicapai pada masa hadapan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back