Sri Aman - Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) memperkukuhkan komitmen terhadap pembangunan sosial inklusif dengan menyumbang peralatan dan keperluan harian kepada Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Pengurus Besar SEDC, Datu Abdul Hadi Datuk Abdul, dan dihadiri pengurusan rumah kanak-kanak, wakil SEDC, ahli jawatankuasa penganjur serta kanak-kanak di bawah jagaan rumah tersebut.
Sumbangan merangkumi dua penghawa dingin, mesin basuh lengkap dengan pengering, televisyen, tiga peti sejuk, dua almari pakaian 12 pintu, penapis air dan meja keluli tahan karat.
Datu Abdul Hadi menegaskan bahawa program CSR SEDC bukan sekadar menyediakan bantuan material, tetapi turut menyokong kesejahteraan jangka panjang kanak-kanak dengan membuka peluang kerjasama berterusan dalam pendidikan, pembangunan kemahiran, aktiviti pembinaan karakter dan motivasi.
Beliau menambah, pembangunan sosial perlu berjalan seiring dengan pertumbuhan ekonomi, selaras dengan aspirasi korporat SEDC, “Prospering Sarawak Today for Tomorrow”, yang menekankan kepentingan kesejahteraan masyarakat dan masa depan generasi muda.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back