KUCHING – Seorang lelaki yang hilang ketika keluar mencari siput sedut di Pantai Jaie, Sadong Jaya, meninggal dunia, hari ini.
Mangsa, Hamizan Rahmat, 42 tahun ditemui dalam keadaan lemah di kawasan belukar kira-kira 500 meter dari Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) pada jam 12.50 tengah hari.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas dibawa ke PKOB pada kira-kira jam 3 petang.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Semalam, kira-kira jam 11 pagi, mangsa dilaporkan keluar ke Pantai Jaie dengan menaiki basikal.
Pada jam 6.30 petang, ahli keluarga bersama penduduk kampung menemui basikal mangsa diletakkan di kawasan semak berhampiran pantai berkenaan sebelum melaporkan kehilangan mangsa kepada pihak berkuasa.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back