Bangkok - Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali atau Jojo, menyifatkan kemenangan adiknya, Muhammad Mikail Ghazali, meraih emas kategori 57 kilogram (kg) pada Sukan SEA Thailand 2025 sebagai pencapaian luar biasa selepas atlet muda berusia 16 tahun itu berjaya menewaskan lawan yang jauh lebih berpengalaman.
Jojo berkata kejayaan Miki amat istimewa kerana beliau terpaksa berdepan pencabar dari kelompok usia 20 hingga 30 tahun, namun tetap mempamerkan semangat tinggi untuk melakar sejarah peribadi dalam penampilan sulungnya di temasya dwitahunan itu.
“Orang kena faham, Miki baru 16 tahun dan dia lawan orang hampir dua kali ganda usia dia. Menang emas Sukan SEA pada usia sebegitu memang sangat bermakna dan bukan mudah,” katanya ketika ditemui di Stadium Tinju Lumpinee, sambil mengakui beliau sendiri belum pernah memenangi emas Sukan SEA.
Miki mencipta sensasi apabila menundukkan atlet tuan rumah Suphakon Sirilun 29-28 dalam tiga pusingan, walaupun berdepan sorakan penyokong Thailand, dan tidak dapat menahan air mata kegembiraan selepas kejayaan tersebut.
Pencapaian Miki melengkapkan hari cemerlang skuad Muay Thai negara selepas turut meraih emas melalui Wassof Rujiman (54kg lelaki) dan Angie Yan Jia Chi dalam acara Wai Kru wanita, serta tiga perak menerusi Eva Anatasia Warren (48kg wanita), Insyad Rumijam (51kg lelaki) dan Nur Amisha Azrilrizal (51kg wanita).
Keseluruhannya, tiga emas dan tiga perak membuktikan peningkatan ketara prestasi negara berbanding hanya satu emas dan satu perak pada edisi 2021, sebelum sukan itu tidak dipertandingkan di Kemboja 2023.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back