Bangkok - Kontinjen Malaysia kini berada di ambang mencapai sasaran 200 pingat pada Sukan SEA Thailand 2025 apabila hanya memerlukan lapan lagi kutipan keseluruhan, selepas mencatat 41 emas, 45 perak dan 106 gangsa setakat ini, sekali gus menunjukkan pasukan berada di landasan tepat dengan dua hari saingan masih berbaki.
Hari ini, peluang meraih pingat dilihat cerah menerusi beberapa acara final termasuk memanah compound individu dan berpasukan lelaki, terjun, menembak serta berbasikal trek, yang dijangka mampu meningkatkan lagi kedudukan Malaysia dalam carta pungutan pingat.
Tumpuan turut terarah ke perlawanan penentuan pingat gangsa bola sepak apabila skuad Harimau Muda bakal berdepan Filipina di Stadium Nasional Rajamangala, dengan sasaran menaiki podium setelah kali terakhir meraih perak pada edisi Kuala Lumpur 2017.
Semantara itu prestasi cemerlang kontinjen negara semalam terus menyinar apabila beberapa acara utama menghadiahkan emas, termasuk pencak silat yang menyaksikan Ummi Mashitah Hassan dan Muhammad Izzul Irfan unggul dalam kategori masing-masing, selain dominasi sukan Muay Thai apabila tiga pingat emas berjaya dirangkul menerusi Angie Yan Jia Chi, Wassof Rumijam dan Mohd Mikail Ghazali Zulfikar.
Kejayaan turut diteruskan dengan skuad kriket lelaki memenangi acara T10, diikuti dua emas skuasy dalam beregu campuran dan beregu lelaki jumbo, sementara pasukan MLBB wanita memastikan percaturan e-sukan membuahkan hasil apabila menewaskan Filipina 4-3 dalam aksi final penuh dramatik.
Emas turut disumbangkan penembak Gan Chen Jie dalam acara 50 meter tiga posisi wanita, manakala skuad bola jaring negara melakar kemenangan bergaya ke atas Singapura 52-49 untuk muncul juara.
Setakat ini Thailand kekal mendominasi carta pungutan pingat dengan 185 emas diikuti Indonesia, Vietnam dan Singapura.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back