Kuala Lumpur - Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat pagi ini kepada 299 orang daripada 78 keluarga di dua daerah, berbanding 53 mangsa daripada 18 keluarga malam tadi, manakala situasi banjir di Sarawak beransur pulih dengan bilangan mangsa terus menurun.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kemaman menjadi daerah terbaharu dilanda banjir apabila 108 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Sivik Bukit Kuang yang dibuka pada 9.10 malam tadi.
Di Hulu Terengganu pula, 191 mangsa daripada 58 keluarga ditempatkan di empat PPS iaitu Balairaya Kampung Pelandang, Balairaya Kampung Kemat, Masjid Kampung Peneh dan Bangunan PPS Kampung Lubok Periok. Beberapa stesen pemantauan paras air mencatat bacaan melepasi paras bahaya, termasuk Sungai Besut di Jambatan Keruak dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Kemaman.
Sebaliknya, Sarawak mencatatkan penurunan jumlah mangsa banjir dan tanah runtuh dengan hanya dua PPS masih beroperasi di Miri, menempatkan 18 mangsa daripada sembilan keluarga berbanding 29 mangsa daripada 17 keluarga semalam.
PPS SK Suai, Niah kini menempatkan 10 orang daripada enam keluarga, manakala Dewan Bulan Sabit Merah masih menempatkan empat mangsa banjir dan empat mangsa tanah runtuh.
Paras air di beberapa stesen pemantauan Miri masih melepasi paras amaran, termasuk Long Teru (8.52 meter) dan Marudi (3.7 meter).
Orang ramai dinasihatkan sentiasa memantau maklumat terkini dan mengambil langkah keselamatan bagi mengelak risiko akibat banjir dan ribut petir.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back