KOTA SAMARAHAN - Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Samarahan bakal menjadi perintis kepada KEMAS Sarawak dengan menyediakan pendidikan awal khas untuk kanak-kanak berkeperluan khas Spektrum Autisme (ASD) di kawasan luar bandar, bermula Januari tahun depan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS di Kampung Tanjung Bundong akan memastikan kanak-kanak berkeperluan khas tidak tercicir daripada peluang pendidikan awal, yang amat penting untuk membantu mereka berdikari dan menyesuaikan diri dengan persekitaran.
Beliau menegaskan usaha itu menunjukkan komitmen KEMAS dalam membina generasi berakhlak, berilmu dan berkeyakinan.
Katanya, Tabika Tunas berkenaan juga membolehkan sistem pengajaran lebih teratur dengan peningkatan kemasukan kanak-kanak berkeperluan khas, menggunakan tenaga pengajar yang terlatih melalui latihan antara tiga hingga enam bulan di Akademi Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS di Kuantan, Pahang serta penempatan praktikal di sekolah pendidikan khas di bawah Kementerian Pendidikan.
Selain itu, Rubiah memaklumkan satu program tahfiz, Thalatha Tis’a, akan diperkenalkan di peringkat taska KEMAS pada tahun hadapan, bertujuan melahirkan generasi celik al-Quran seawal usia dua tahun, dengan sasaran melibatkan 1,000 kanak-kanak di 100 taska KEMAS seluruh negara.
Usaha KEMAS Samarahan ini dijangka menjadi model bagi negeri lain dalam menyediakan pendidikan awal inklusif untuk kanak-kanak berkeperluan khas di Sarawak dan seluruh Malaysia.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back