BANGKOK - Hasrat skuad badminton wanita negara untuk menamatkan penantian lapan tahun ke pentas final Sukan SEA lebur selepas tunduk tipis 2-3 kepada Indonesia dalam aksi separuh akhir penuh dramatik di Universiti Thammasat, Pathum Thani pada Isnin, 8 Disember.
Pertarungan sengit itu berakhir selepas pemain Indonesia, Mutiara Ayu Puspitasari, memastikan kemenangan negaranya menerusi aksi penentuan apabila menewaskan Siti Zulaikha Muhammad Azmi 21-18, 21-16.
Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnain, berkata penurunan fokus selepas rehat menjadi antara faktor kekalahan pemain negara yang menghuni ranking ke-91 dunia itu.
Malaysia bermula goyah apabila perseorangan pertama K. Letshanaa tewas mudah kepada Putri Kusuma Wardani 9-21, 10-21, namun kebangkitan skuad negara bermula menerusi gandingan beregu kedua dunia Pearly Tan–M. Thinaah, yang memastikan mata penyamaan dengan kemenangan 21-14, 17-21, 21-16.
Sorakan negara makin memuncak apabila perseorangan kedua Wong Ling Ching, walaupun tidak sihat, mencipta kejutan besar dengan menundukkan pemain ranking ke-10 dunia, Gregoria Mariska Tunjung, 22-20, 15-21, 21-16 dalam perlawanan selama 66 minit.
Namun, rentak Malaysia kembali terganggu selepas pasangan sementara Go Pei Kee–Toh Ee Wei gagal menyaingi pasangan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspitasari, tewas 10-21, 9-21, sekali gus memaksa aksi penentuan.
Dengan kekalahan itu, Malaysia membawa pulang pingat gangsa secara tidak rasmi bersama Singapura, manakala Indonesia mara ke final untuk bertemu juara bertahan Thailand, yang menewaskan Singapura 3-0.
Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember melibatkan Bangkok dan Chonburi sebagai tuan rumah.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back