BINTULU - Seorang lelaki, Daniel Jumau, 23, ditemukan lemas di dasar kolam berhampiran rumah pekerja di Simpang Rumah Panjang Kiroh Bali, Tatau, pada Isnin 8 Disember, selepas dipercayai terjatuh ke dalam air pada Ahad petang.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau menerima panggilan kecemasan pada 4.18 petang, selepas rakan-rakan mangsa menjumpai tuala dan selipar miliknya di tepi kolam namun gagal mengesannya.
Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pada hari pertama, manakala hari kedua melibatkan 14 anggota BBP Tatau termasuk Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Zon 5 dari BBP Bintulu, bersama anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pasukan PPDA melakukan pencarian di dasar kolam manakala pasukan lain menjalankan pencarian visual di permukaan.
Pada 10.41 pagi, penyelam PPDA menemui mangsa pada kedalaman kira-kira enam meter, tidak jauh dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut pada 10.46 pagi, manakala operasi SAR ditamatkan pada 11.01 pagi.
Operasi diketuai Ketua Balai BBP Tatau, PBT II Herudin Ealhi, turut menggunakan satu jentera LFRT, satu lori serta dua kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back